Amir Mamat


SERAMAI 70 daripada 111 pelajar lelaki di Madrasah Bustanul Ulum Abu Bakar, Kampung Ayer Merbau, Jasin dipindahkan ke Pusat Kuarantin Covid-19 Melaka di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CReATE), Alor Gajah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, langkah itu susulan seramai 20 pelajar dan guru madrasah itu di kesan positif Covid-19 selepas dipercayai mempunyai kaitan dalam kes indeks kluster tabligh di Masjid Seri Petaling.

Beliau berkata, sehingga malam tadi, 25 pelajar dipindahkan ke pusat kuarantin berkenaan, manakala selebihnya dilaksanakan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini

“Seramai 25 pelajar yang dikuarantin di madrasah itu sudah dipindahkan ke CReATE dan baki kira-kira 70 pelajar lagi akan dihantar selepas mereka kembali ke madrasah itu, hari ini.

“Pihak KKM akan menyediakan kenderaan untuk membawa mereka ke CReATE selewat-lewatnya 7 malam ini,” katanya selepas meninjau keadaan madrasah berkenaan, hari ini.

Beliau turut memberikan taklimat ringkas kepada ahli keluarga pelajar terbabit selain meminta mereka menjalani saringan di Hospital Melaka.

Tinjauan Harian Metro di madrasah berkenaan mendapati, ibu bapa mula menghantaranak-anak mereka ke pusat pengajian itu seawal 9 pagi.

Ada dalam kalangan ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak masing-masing mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelak daripada bersentuhan kerana bimbang penyebaran virus berkenaan.

SEBAHAGIAN pelajar di Madrasah Bustanul Ulum Abu Bakar, Kampung Ayer Merbau, Jasin yang sedang menjalani kuarantin secara berpusat. FOTO Iqmal Haqim ROSMAN
SEBAHAGIAN pelajar di Madrasah Bustanul Ulum Abu Bakar, Kampung Ayer Merbau, Jasin yang sedang menjalani kuarantin secara berpusat. FOTO Iqmal Haqim ROSMAN

Semua pelajar berkenaan akan menjalani proses kuarantin selama 14 hari seperti ditetapkan KKM dan dikategorikan sebagai Pesakit Dalam Siasatan (PUI).

Difahamkan sebelum ini semua pelajar di madrasah berkenaan sudah menjalani kuarantin di pusat pengajian itu selepas seorang daripada guru di situ disahkan positif Covid-19 sebelum semua pelajar dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, saringan dijalankan pada 1 April lalu mendapati kira-kira 20 pelajar disahkan positif sebelum Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan semua pelajar pulang semula ke madrasah berkenaan untuk dikuarantin secara berpusat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri sudah melakukan semburan nyah kuman ke atas keseluruhan bangunan berkenaan, lewat petang semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:00 PM