Balqis Jazimah Zahari


KERAJAAN Perak mengumumkan senarai lapan portfolio Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang akan memegang portfolio bagi Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, GLC dan Integrasi Nasional.

“ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad (UMNO) akan memegang portfolio, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna; ADUN Semanggol, Razman Zakaria (PAS), Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil ; ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan.

“ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya (UMNO) memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor; ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri (Bersatu), Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air.

“Manakala ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin (PAS) pula akan menyandang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan dan ADUN Kampung Gajah, Datuk Dr Norashikin Wan Noordin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat,” katanya ketika berucap membacakan perutusan bagi mengumumkan senarai pembahagian portfolio berkenaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.

AHMAD Faizal Azumu. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
AHMAD Faizal Azumu. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak

Ahmad Faizal berkata, beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sudah dilantik akan turut memangku portfolio tiga lagi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang masih belum diisi.

“Saya sendiri akan memangku portfolio Kesihatan manakala Akmal akan memangku portfolio Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

“Datuk Nolee Ashilin pula akan memangku portfolio Komunikasi dan Multimedia manakala Datuk Shahrul Zaman pula akan memangku portfolio Belia dan Sukan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya pasukan yang dibentuk akan bekerja dengan kuat untuk menggalas cabaran yang sedang dihadapi.

“Pada masa yang sama, pasukan ini juga memerlukan kerjasama, sokongan dan doa seluruh rakyat negeri Perak yang dikasihi dalam mengharungi badai gelora ekonomi kesan daripada wabak Covid-19.

“InsyaAllah, jika kita bersatu hati dan iltizam, menerima hikmah disebalik ujian, kita akan berjaya mengatasi cabaran ini seperti mana yang sudah kita buktikan dalam krisis sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 12:56 PM