Mahaizura Abd Malik


ZOO Negara Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya RM900,000 sebulan bagi menampung kos keperluan makanan haiwan dan membayar gaji pekerjanya yang terjejas akibat tidak dapat beroperasi kerana pandemik Covid-19.

Timbalan Presidennya Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, dia menjangkakan simpanan sedia ada hanya mampu bertahan selama tiga bulan sedangkan kos minima diperlukan menjangkau enam bulan.

Menurutnya, ketika ini mereka menggunakan simpanan sedia ada secara berhemah dengan mengutamakan keperluan penting bagi kelangsungan organisasi berkenaan.

“Kebiasaannya perbelanjaan kita mencecah RM1.3 juta sebulan tetapi sekarang cuma RM900,000 kerana kita dahulukan bagi membayar keperluan penting termasuk kos makanan, ubat-ubatan dan gaji pekerja.

“Bagi pembayaran utiliti termasuk bekalan air dan elektrik serta insuran pula kita terpaksa tangguhkan dulu buat masa ini,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, ketika ini mereka menerima sumbangan makanan segar seperti sayuran, buah-buahan, ikan, daging dan ayam daripada individu, pasar raya dan peladangan bernilai antara RM5,000 hingga RM8,000 sehari.

“Biasanya kita peruntukan RM12,000 sehari untuk menampung kos makanan lebih 4,000 haiwan termasuk mamalia, reptilia, burung dan ikan.

“Kita mengalu-alukan sumbangan perubatan kerana buat masa ini belum ada orang menderma ubat-ubatan, kalau ada itupun boleh membantu kurangkan beban kita.

“Dengan adanya sumbangan seperti ini sekurang-kurangnya simpanan sedia ada dapat dibawa untuk tempoh panjang kerana kita memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan kos untuk tampung kelangsungan,” katanya.

Katanya, sehingga kini mereka hanya mampu meraih hasil kutipan berjumlah RM200,000 melalui Kempen Haiwan Angkat Zoo Negara yang dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, 18 Mac lalu.

“Kempen ini sebahagian usaha kita memastikan kelangsungan zoo dan sebagai ganjaran, nama mereka yang menyumbang akan dicatatkan bersama nama haiwan pilihan.

“Malah, penderma juga layak mendapat satu tiket percuma yang sah digunakan dalam tempoh setahun.

“Kita akui memang masih memerlukan dan berharap sumbangan diterima berterusan bukan saja setakat 14 April,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh hubungi Zoo Negara di talian 03-41083422 atau emel kepada [email protected].

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 4:25 PM