Syaherah Mustafa


PENGUSAHA sayur mampu meraih pendapatan lumayan selepas dapat menjual 1,500 kilogram (kg) timun setiap hari untuk dijual borong bagi memenuhi permintaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Khairu Azrin Che Ha, 30, dari Rantau Panjang menjual hasil timun dari kebunnya itu kepada pemborong di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu turut mengakui permintaan ketika tempoh PKP bertambah sehingga dua kali ganda.

Menurutnya, pada hari biasa hanya 500 sehingga 700 kg sahaja timun yang ‘ditolak’ kepada pemborong tetapi kini dia perlu memerah keringat lebih kuat demi memenuhi permintaan pelanggan supaya bekalan sayuran tidak terputus.

Dia yang sudah tiga tahun mengusahakan kebun sayur berkata, harga timun yang diusahakannya dijual pada harga RM2.50 untuk satu kilogram selain turut menanam terung dan cili.

“Saya dibantu beberapa pekerja memetik timun yang diusahakan di kawasan seluas 0.4 hektar sebanyak dua kali sehari bagi memastikan bekalan sayur ini dapat dihantar kepada pemborong hampir setiap hari.

“Tambahan pula, sayur-sayuran yang dibawa masuk dari Thailand juga semakin terhad menyebabkan permintaan lebih tinggi dalam kalangan pengusaha tempatan. Namun ia bukanlah suatu beban sebaliknya saya anggap sebagai rezeki.

“Seawal 2 pagi, saya sendiri yang membawa kesemua timun ini menaiki van untuk ke pasar borong dengan adanya surat pelepasan daripada pihak berkuasa dengan tujuan membawa bekalan asas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Bakul, Lubok Stol hari ini.

Khairu Azrin mengakui, ada masanya dia berasa risau dan takut dengan Covid-19 untuk keluar bekerja menghantar sayur ke pasar tetapi demi tanggungjawab memastikan bekalan sayur tidak terputus, dia tetap melaksanakannya.

KHAIRU Azrin, 30, memetik timun sebelum dijual kepada pemborong ketika ditemui di kebunnya di Kampung Kubang Bakul, Lubok Stol, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
KHAIRU Azrin, 30, memetik timun sebelum dijual kepada pemborong ketika ditemui di kebunnya di Kampung Kubang Bakul, Lubok Stol, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 3:16 PM