MOHD Ali, tidak mampu memasarkan ikan malong berikutan pengilang bebola ikan menghentikan operasi sejak Rabu lalu akibat PKP. FOTO Hassan Omar
MOHD Ali, tidak mampu memasarkan ikan malong berikutan pengilang bebola ikan menghentikan operasi sejak Rabu lalu akibat PKP. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


NELAYAN yang bergantung rezeki kepada hasil jualan ikan kepada pengilang bebola ikan terpaksa menjalani detik sukar sejak operasi kilang berkenaan dihentikan mulai Rabu lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 14 April ini.

Ini kerana ikan malong yang khusus untuk diproses menjadi bebola ikan tidak mampu dijual kepada pengilang berikutan penutupan kilang itu di Cheng, Melaka.

Mohd Ali Abu Bakar, 50, berkata beliau dan beberapa nelayan lain yang menjadikan ikan malong sebagai sumber tangkapan utama, buntu memikirkan bagaimana untuk memasarkan ikan itu selepas pengilang bertindak demikian.

“Ikan malong tidak sama dengan ikan lain kerana ikan itu tidak dibeli pelanggan seperti ikan biasa yang lain, sebaliknya ia hanya boleh dijual untuk diproses menjadi bebola ikan.

“Bagi ikan malong gred A yang beratnya melebihi dua kilogram (kg) seekor, saya boleh jual pada harga RM15 satu kg manakala yang gred B tidak lebih daripada RM6 satu kg kerana isinya kurang berbanding yang gred A,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah, hari ini.

Beliau berkata, ikan berkenaan hanya boleh ditangkap dengan menggunakan kaedah merawai, iaitu menggunakan ratusan mata pancing yang dibuang ke dalam laut selepas ia dipasang umpan ikan bersaiz kecil seperti tamban, selangat dan beliak mata.

“Ikan berkenaan tidak dibeli pengguna kerana mukanya seakan-akan ular manakala badannya seperti belut menyebabkan mereka keberatan untuk memakannya.

“Bagaimanapun, selepas dagingnya dikisar dan dijadikan bebola ikan, rasanya enak sama seperti ikan lain yang diproses menjadi bebola ikan seperti ikan cabok, iaitu anak ikan parang dan ikan tamban,” katanya.

Mohd Ali berkata, beliau terpaksa berusaha mendapatkan pengusaha bebola ikan di Muar, Johor untuk memastikan kira-kira 100 kg ikan malong yang tersimpan dalam tong ikannya sejak tiga hari lalu mampu dipasarkan.

Selain itu, beliau bercadang menggunakan sebahagian daripada ikan berkenaan sebagai umpan yang dipasang dalam ‘bento’ iaitu perangkap ketam, selain menjualnya kepada nelayan lain yang turut menangkap ketam dengan menggunakan bento.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 2:46 PM