ABANG Johari (dua kiri) menyaksikan penyerahan bekalan makanan kepada Lt Jen Datuk Zamrose pada pelancaran penghantaran makanan ke kawasan pedalaman Sarawak, hari ini. FOTO ATM
ABANG Johari (dua kiri) menyaksikan penyerahan bekalan makanan kepada Lt Jen Datuk Zamrose pada pelancaran penghantaran makanan ke kawasan pedalaman Sarawak, hari ini. FOTO ATM
Mohd Roji Kawi

SEMUA kenderaan yang membawa bekalan makanan dibenarkan untuk membuat penghantaran ke seluruh Sarawak tanpa sebarang sekatan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, kebenaran itu diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan penduduk tidak menghadapi masalah bekalan makanan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi kawasan yang jauh di pedalaman katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersetuju untuk membantu membuat penghantaran menggunakan helikopter.

“Beberapa kawasan yang tidak boleh atau sukar dihubungi melalui jalan darat seperti Bario, Telang Usan, Baram, Lawas, Sri Aman dan Kapit dan ATM menggerakkan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mempercepatkan penghantaran bekalan makanan ke kawasan terbabit.

“Sebagai permulaan hari ini, penghantaran makanan menggunakan helikopter TUDM dilaksanakan ke kawasan Bario,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan program penghantaran bekalan makanan itu yang disempurnakan di hangar Unit Udara JBPM, Miri, hari ini.

Turut hadir pada majlis ringkas itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain.

Abang Johari berkata, pihak TUDM memberi jaminan penghantaran bekalan makanan ke semua 13 lokasi di pedalaman itu menggunakan helikopter EC725 itu akan selesai sepenuhnya dalam masa antara empat hingga lima hari, bergantung kepada kepada keadaan cuaca.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) akan memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi di semua 800 pusat jualan, kedai runcit di seluruh Sarawak yang dibenarkan beroperasi setiap hari mulai jam 7 pagi hingga 4 petang.

Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan berjumlah RM16.4 juta untuk memastikan bekalan makanan mencukupi untuk setiap rakyat.

Kira-kira 450,000 rakyat Sarawak menerima bekalan makanan apabila setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan RM200,000 dan golongan sasaran yang dibekalkan dengan makanan asas ini terdiri daripada ketua isi rumah (KIR) di kawasan luar bandar dan pedalaman, penduduk miskin bandar dan mereka yang terputus pendapatan kerana PKP.

Semua penerima bantuan makanan itu ditentukan oleh Jawatankuasa Bencana Bahagian atau Daerah yang terdiri daripada Residen, Pegawai Daerah, agensi-agensi Kerajaan, Pusat Khidmat ADUN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 1:57 PM