KPM menafikan jadual siaran TV Pendidikan yang akan disiarkan saluran TV Okey mulai Isnin 5 April 2020 yang tular mulai semalam.
KPM menafikan jadual siaran TV Pendidikan yang akan disiarkan saluran TV Okey mulai Isnin 5 April 2020 yang tular mulai semalam.
Md Fuzi Abd Lateh


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM), hari ini membuat penafian berhubung jadual lengkap siaran TV Pendidikan melalui saluran TV Okey Radio Televisyen Malaysia (RTM) disiarkan mulai esok seperti yang tular.

Menurut kenyataan rasmi, KPM memaklumkan sebaran jadual lengkap rancangan televisyen selama dua jam setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 14 April ini adalah palsu dan mengelirukan pelajar, ibu bapa dan guru.

Katanya, jadual sebenar rancangan disusun Kementerian akan dimaklumkan melalui portal rasmi di http://www.moe.gov.my

“Kementerian juga akan membuat hebahan mengenai jadual rancangan yang siap disusun di media sosial rasmi seperti Facebook, Instagram dan twitter KPM dalam masa terdekat.

“Hebahan juga turut dikongsikan bersama semua Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Majlis Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia dan Majlis Guru Besar (MGB),” katanya.

Selain itu katanya, pihak RTM juga akan membantu hebahan rasmi yang sahih kepada orang ramai.

Semalam tular jadual semua rancangan sekolah rendah dan menengah mengikut slot masa dan tarikh membabitkan beberapa pelajaran seperti sains, matematik, bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia yang disertakan bersama tajuknya.

Kelmarin, Menteri Pendidikan , Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa slot TV Pendidikan akan mula disiarkan melalui saluran TV Okey, RTM minggu depan.

Beliau berkata slot rancangan pendidikan itu dapat membantu pelajar dan guru dalam usaha meningkatkan pemahaman dalam pengajaran dan pembelajaran secara mudah di rumah ketika PKP membendung wabak Covid-19 ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 10:43 AM