SEORANG individu menunjukkan cara menjalani saringan dan pemeriksaan dengan  persekitaran selamat.  FOTO Dr Ahmed Kamarulzaman.
SEORANG individu menunjukkan cara menjalani saringan dan pemeriksaan dengan persekitaran selamat. FOTO Dr Ahmed Kamarulzaman.
Redzuan Muharam


MENYEDARI keperluan petugas kesihatan dan pesakit memberi idea kepada sekumpulan individu mencipta prototaip bilik saringan serta pemeriksaan Covid-19 dinamakan I3S Cubicle.

Individu berkenaan terdiri daripada doktor, jururawat, ahli farmasi, pegawai makmal, arkitek, jurutera biomedikal dan tenaga.

Projek penghasilan prototaip itu diketuai Dr Ahmed Kamarulzaman yang turut membabitkan kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Klinik Perubatan Awfa, KotaSAS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Medical Mythbusters Malaysia dan Ini Sains Beb.

Dr Ahmed berkata, prototaip bilik mesra pengguna itu dicipta bertujuan mengurangkan penggunaan pakaian perlindungan diri (PPE), mengelakkan risiko jangkitan, meminimumkan kontak, mengurangkan tenaga kerja dan paling utama melindungi petugas kesihatan ketika berurusan dengan pesakit.

Katanya, penghasilan prototaip itu mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan bermula Sabtu lalu hingga semalam dengan bantuan jurubina dari sebuah syarikat di Kajang, Selangor yang membantu dari segi pemasangan.

Dr Ahmed berkata, projek itu menelan kos sebanyak RM12,000 hasil sumbangan individu perseorangan menerusi dana awam, Ikram Health dan Bantuan Bencana NGO (BBNGO).

BILIK saringan dan pemeriksaan dengan ciri mudah alih. FOTO Ihsan Dr Ahmed Kamarulzaman.
BILIK saringan dan pemeriksaan dengan ciri mudah alih. FOTO Ihsan Dr Ahmed Kamarulzaman.

Antara bahan asas digunakan dalam pembinaan prototaip itu adalah papan solid, lamica, plastic arcylic, silikon, cetakan 3D, alat semburan cecair pembasmi kuman selain disokong bantuan sistem pengudaraan dan pencahayaan sinaran ultraviolet (UV).

“Penularan wabak Covid-19 menyebabkan peningkatan beban kerja ditanggung petugas kesihatan di sektor kerajaan atau swasta.

“Jumlah individu perlu disaring juga meningkat sedangkan bekalan PPE terhad jadi projek ini adalah alternatif yang boleh memudahkan urusan petugas kesihatan dan pesakit yang mahu melakukan saringan awal.

“Menariknya, prototaip dihasilkan ini menitikberatkan konsep persekitaran yang selamat dan dilengkapi saluran udara dengan penapis HEPA untuk pergerakan udara kedua-dua bilik selain mudah dan dicabut semula bagi penggunaan di dalam atau di luar wad,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Dr Ahmed, prototaip itu dihasilkan menerusi perbincangan bersama ahli kumpulan dan input daripada pihak berkaitan antaranya perunding bahan menerusi pertanyaan secara dalam talian.

Katanya, pelbagai percubaan dan perubahan dilakukan demi memastikan aspek keselamatan dititikberatkan terutama di ruang yang menjadi perantara pesakit dan petugas kesihatan sehingga terhasilnya model prototaip itu.

“Model prototaip ini adalah untuk kegunaan di tempat terbuka yang mempunyai tiga bilik terdiri daripada ruang petugas, pesakit dan satu lagi kubikel kosong.

“Secara peribadi, kita masih tidak berpuas hati kerana belum digunakan secara nyata dan meluas serta merasakan ada ruang lagi yang boleh diperbaiki.

“Justeru, perbincangan lanjut akan dilakukan dengan jurutera Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan maklumat tambahan berkaitan ciri keselamatan yang perlu ada bagi memastikan kegunaannya benar-benar selamat untuk petugas atau pesakit,” katanya.

Meskipun belum dikomersialkan, Dr Ahmed berkata, projek itu sudah mendapat perhatian dari beberapa hospital dan pejabat kesihatan seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Namun, ia tidak dijual buat masa ini sebaliknya bersedia membantu menyiapkan reka bentuk menerusi satu kerjasama dengan pihak yang berminat.

“Kerja penambahbaikan dari segi keselamatan dan ciri pengawalan jangkitan masih dilakukan dan jika tiada halangan, ia akan digunakan buat pertama kalinya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang, Isnin depan.

“Pada masa sama, kita sedang berusaha mempatenkan rekaannya dan kemungkinan memasarkannya ke luar negara kelak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 7:05 PM