BAZAR Ramadan di Tabuan Jaya, Kuching tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
BAZAR Ramadan di Tabuan Jaya, Kuching tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
Melvin Joni


MAJLIS Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) membatalkan bazar Ramadan tahun ini sebagai langkah mengelak penularan COVID-19.

Menerusi satu kenyataan hari ini, MBKS berkata keutamaannya adalah keselamatan dan kesihatan masyarakat.

“Kami berpendapat bazar Ramadan tidak sesuai dibuka ketika ini kerana ia mengumpul begitu ramai orang dan ini boleh mendatangkan risiko terhadap masyarakat,” katanya.

MBKS sebelum ini merancang membuka bazar sempena Ramadan tahun ini di Pusat Komersial Stutong dan tempat letak kereta Pasar Komuniti Stutong bermula 24 April hingga 23 Mei

Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Datuk Junaidi Reduan berkata, pihaknya belum lagi memutuskan sama ada membuka atau tidak bazar Ramadan.

“Kami masih menunggu keputusan polisi daripada kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Datuk Ahmad Ibrahim pula berkata pihaknya juga belum membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Untuk Bazar Ramadan itu dibuka atau tidak, ia memerlukan perbincangan dengan semua pihak.

“Namun pada pandangan saya, adalah sebaiknya tidak dibuka kerana kita tahu Bazar Ramadan akan di kunjungi ribuan orang dan ini boleh mendatangkan risiko penyebaran Covid-19 yang lebih meluas lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 5:46 PM