TALIAN Kasih KPWKM
TALIAN Kasih KPWKM
Mahaizura Abd Malik


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan laporan kes keganasan rumah tangga meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, peningkatan jumlah peratusan panggilan diterima Talian Kasih merangkumi semua kategori termasuk wabak Covid-19, rujukan kes bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta kes kaunseling.

“Artikel yang menyebut peningkatan kes keganasan rumah tangga meningkat sebanyak 57 peratus ketika tempoh PKP adalah tidak benar sama sekali.

“KPWKM memandang serius terhadap semua panggilan yang diterima termasuk isu keganasan rumah tangga dan penderaan terutama ketika tempoh PKP ini.

“Tindakan segera terus diambil pihak JKM mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2017 dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

Berikutan itu, kementerian memohon kerjasama semua pihak supaya data panggilan kes keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak dalam Talian Kasih yang disiarkan di portal KPWKM, tidak disalah tafsirkan melalui penulisan artikel atau sebarang hebahan.

“Mohon rujuk sumber sahih serta penjelasan kementerian sebelum membuat sebarang kenyataan di mana-mana saluran komunikasi,” katanya.

Semalam, sebuah portal sebuah agensi media tempatan melaporkan kes keganasan rumah tangga di kebanyakan negara meningkat ketika tempoh perintah berkurung dilaksanakan.

Laporan itu turut memetik data panggilan Talian Kasih bertambah sebanyak 57 peratus sejak PKP dilaksanakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 5:18 PM