BAZLAN menyerahkan sumbangan kepada penduduk Batu Rakit susulan PKP. FOTO Ihsan Pejabat DUN Batu Rakit.
BAZLAN menyerahkan sumbangan kepada penduduk Batu Rakit susulan PKP. FOTO Ihsan Pejabat DUN Batu Rakit.
Ahmad Rabiul Zulkifli


SEBANYAK 8,000 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menerima bantuan keperluan harian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bekalan makanan termasuk beras, gula, gandum dan minyak masak itu diserahkan ke rumah masing-masing sejak 28 Mac lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk menyerahkan sumbangan itu berikutan 80 peratus penduduk di kawasan itu bekerja sendiri dan terjejas akibat PKP.

“Kawasan Batu Rakit terlalu ramai nelayan dan petani termasuk penoreh getah oleh itu saya bersimpati dengan nasib mereka.

“Alhamdulillah, melalui peruntukan yang disediakan kerajaan negeri selain sumbangan peribadi dan tokoh perniagaan, kami membelanjakan RM200,000 bagi menyediakan bantuan itu,” katanya.

Menurutnya, penduduk di Pulau Redang juga tidak terkecuali dan mereka lebih diberi perhatian kerana terkurung di pulau itu sepanjang PKP berkuat kuasa.

“Daripada 8,000 rumah yang menerima sumbangan itu sebanyak 234 rumah di Pulau Redang.

“Setiap rumah tidak terkecuali menerima sumbangan barangan keperluan itu kerana mereka semua dianggap terjejas dengan arahan PKP,” katanya.

Menurutnya, dia berharap sumbangan itu dapat meringankan beban penduduk terutama golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Walaupun tidak banyak, namun kami akan pastikan tiada penduduk yang susah hingga tiada makanan sepanjang PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 7:46 PM