KHAIRILL Anwar (kanan) bersama seorang pembeli nanasnya di ladang di Kampung Simpang Kendong Kota, Rembau. FOTO Mohd Amin Jalil
KHAIRILL Anwar (kanan) bersama seorang pembeli nanasnya di ladang di Kampung Simpang Kendong Kota, Rembau. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

“SAYA terpaksa kurangkan harga sebanyak 40 peratus daripada biasa bagi mengelak berlakunya lambakan buah nanas,” kata pengusaha nanas, Khairill Anwar Mohamad, 42.

Pengusaha dari Kampung Simpang Kendong Kota, Rembau, itu berkata, dia menanam nanas jenis MD2 dan Crystal Honey dan mengakui sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hasil jualannya berkurangan kerana pembeli sukar datang.

Bagaimanapun, beliau menggunakan pendekatan pemasaran secara atas talian dan penghantaran terus ke rumah.

“Setakat ini pasaran nanas masih ada, namun hanya ramai kalangan penduduk setempat dan sekitar kawasan ini yang membeli.

“Pemborong tidak lagi datang mengambil buah nanas kerana PKP. Bagi mengelak berlakunya lambakan buah, saya membuat promosi menerusi kumpulan WhatsApp dalam kalangan penduduk kampung dan hasilnya amat baik.

“Biasanya harga pasaran nanas MD2 dan Crystal Honey sekitar antara RM5 dan RM6 sekilogram (kg) tetapi ketika ini saya menjualnya RM3.30 kg,” katanya.

Khairill Anwar berkata, dia memiliki sekitar 100,000 pokok nanas yang diusahakanya sejak 2014 di kawasan seluas empat hektar.

Bapa kepada lima anak itu berkata, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri banyak membantunya dalam mendepani cabaran ketika PKP ini.

Beliau berkata, nanas adalah buah tempatan yang mempunyai vitamin C dan baik untuk kesihatan.

“Wabak Covid-19 ternyata memberi kesan dan menyebabkan banyak sektor terutama peladang dan petani terjejas, bagaimanapun bersyukur kerana kerajaan membantu menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 7:28 PM