MAYAT nelayan warga Thailand yang ditemui terapung dibawa ke jeti Pelabuhan Perikanan Tanjung Bako, pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT nelayan warga Thailand yang ditemui terapung dibawa ke jeti Pelabuhan Perikanan Tanjung Bako, pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


NELAYAN Thailand yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari kapal Isnin lalu, ditemukan lemas, hari ini.

Mayat Akson Daengprasert, 40, ditemukan terapung oleh nelayan tempatan pada 7.30 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mayat mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Pelabuhan Perikanan Tanjung Bako.

Beliau berkata, kumpulan nelayan itu kemudiannya memaklumkan penemuan mayat berkenaan kepada anggota bomba yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mayat dibawa oleh bomba ke jeti pelabuhan itu dan dikenal pasti oleh majikan serta anak kapali,” katanya.

Mangsa dilaporkan hilang selepas terjatuh dari kapal yang berlabuh di jeti pelabuhan perikanan itu kira-kira jam 4.30 petang, Isnin lalu.

Usaha mencarinya segera dilakukan oleh pekerja kapal nelayan serta kakitangan pelabuhan itu, namun gagal menemuinya.

Berikutan itu, pasukan penyelamat dihubungi pada jam 6.02 petang Isnin lalu bagi mendapatkan bantuan mencari dan menyelamat.

Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

Operasi pencarian mangsa turut dibantu anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 10:27 AM