ANTARA sukarelawan ketika membungkus sayur  dan buah  sebelum di agihkan secara percuma kepada penduduk setempat. FOTO ESSA ABU YAMIN
ANTARA sukarelawan ketika membungkus sayur dan buah sebelum di agihkan secara percuma kepada penduduk setempat. FOTO ESSA ABU YAMIN
Essa Abu Yamin


“SAYUR, sayur, sayur. Buah-buahan pun ada, semuanya percuma,” itu yang dilaungkan kira-kira 20 ahli Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Yong Peng dan sukarelawan ketika mengagihkan hasil tani berkenaan di kawasan perumahan sekitar Yong Peng dan Ayer Hitam di sini, sejak 21 Mac lalu.

Inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban penduduk susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah menangani lambakan sayur-sayuran dan buah-buahan di pasaran.

Pengerusi Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Yong Peng Cheng Tai Hoe berkata, 500 bungkus sayur dan buah-buahan disediakan ahli persatuan berkenaan setiap hari bermula jam 8 pagi dengan agihannya bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Agihan dari rumah ke rumah di sekitar kawasan Pekan Yong Peng, Ayer Hitam, Lam Lee serta Kangkar Bahru ini kami lakukan selepas menyedari keperluan barangan dapur orang ramai agak terhad selain pergerakan mereka terbatas.

“Sebelum ini, kebanyakan bantuan yang disalurkan berupa barangan kering seperti beras dan gula namun tiada lagi sumbangan seperti sayur dan buah-buahan,” katanya.

Menurut Cheng, sayur dan buah-buahan itu sumbangan pengusaha yang bernaung di bawah persatuan berkenaan.

Katanya, pada hari pertama agihan, ada penduduk yang takut untuk menerima bungkusan sayur dan buah-buahan berkenaan.

“Bungkusan itu diletak di hadapan rumah penduduk sejurus ahli persatuan menjerit memberitahu bungkusan sudah tiba.

“Namun selepas beberapa hari agihan dibuat, penduduk sudah dapat menerimanya malah ada yang memberikan ucapan penghargaan kepada kami.

“Antara sayur diagih adalah terung, timun, cendawan, petola serta peria manakala buah-buahan pula membabitkan tembikai, betik, pisang, nanas, jambu serta buah naga.

“Agihan ini akan dilaksanakan sepanjang PKP selain selagi bekalannya masih ada,” katanya.

Tambah beliau, usaha pengagihan sayur-sayuran dan buah-buahan itu turut mendapat kerjasama pemimpin tempatan termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang Datuk Samsolbari Jamali, Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta beberapa sukarelawan belia.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 3:47 PM