JUALAN tiket feri yang diperuntukkan sehari bagi perjalanan ke Indonesia dihadkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO ihsan Polis
JUALAN tiket feri yang diperuntukkan sehari bagi perjalanan ke Indonesia dihadkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO ihsan Polis
Nurul Amanina Suhaini

HANYA 350 hingga 500 tiket feri yang diperuntukkan sehari bagi perjalanan ke Indonesia menerusi Terminal Feri Antarabangsa Stulang, Stulang Laut, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, jadual perjalanan ke negara berkenaan diperuntukkan empat perjalanan sehari iaitu pada 9.30 pagi, 11 pagi, 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari.

Katanya, purata penumpang sehari ketika ini sekitar 1,000 hingga 1,500 orang tetapi jumlah itu dikawal bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Satu feri hanya dibenarkan 70 peratus penumpang sahaja bagi menghindar wabak Covid-19.

“Jumlah penumpang yang ingin balik ke Indonesia mencecah 1,000 hingga 1,500 orang dan yang dibenarkan balik hanya 350 hingga 500 orang sahaja. Selebihnya diarahkan balik semula ke kediaman masing-masing.

“Jumlah pengunjung yang masih berada di sekitar lokasi ini kira-kira 80 orang,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan terminal dijangka mengadakan mesyuarat petang ini, bagi mempertimbangkan menambahkan jumlah penumpang dan jumlah feri untuk ke Indonesia.

“Pihak pengurusan memaklumkan dijangka ada penambahan satu lagi feri untuk 2 petang membabitkan anggaran 200 penumpang.

“Keadaan semasa dapat dikawal oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 11:47 AM