Amir Abd Hamid


DARIPADA 34 kes kematian dicatatkan berkaitan koronavirus baharu (Covid-19) yang direkod setakat ini, didapati 55.6 peratus adalah membabitkan pesakit berusia 60 tahun dan ke atas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jumlah itu juga menunjukkan, 67.6 peratus kematian adalah penghidap penyakit kronik misalnya diabetes, hipertensi, penyakit buah pinggang dan penyakit jantung.

“Mereka lebih berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang lebih serius iaitu mengalami gejala dan komplikasi yang teruk.

“Oleh itu, penting bagi mereka dan ahli keluarga mereka mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak dijangkiti virus ini,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham menasihatkan supaya individu atau keluarga individu yang mempunyai penyakit kronik supaya memastikan bekalan ubat mencukupi dan tidak terputus.

“Perkhidmatan kesihatan masih diteruskan di semua fasiliti kesihatan KKM khususnya bagi temujanji rawatan susulan dan mendapatkan bekalan ubat-ubatan,” katanya.



Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima laporan 150 kes baharu setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 2,470 kes.

Sehingga kini seramai 73 pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 52 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada 2,470 kes positif, sebanyak 34 kes kematian dicatatkan berkaitan Covid-19 yang direkod setakat ini.

Sebanyak 68 kes pulih dan dibenarkan discaj, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya Covid-19 adalah 388 kes.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 6:47 PM