PIHAK berkuasa melakukan persiapan bagi menghentikan aktiviti membeli hasil laut di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga. FOTO ihsan Polis
PIHAK berkuasa melakukan persiapan bagi menghentikan aktiviti membeli hasil laut di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga. FOTO ihsan Polis
Zuhainy Zulkiffli


AKTIVITI membeli hasil laut secara berbisik di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga dekat Kepala Batas dihentikan serta merta sepanjang tempoh Perintah Kawalah Pergerakan (PKP).

Keputusan itu diambil selepas perbincangan dilakukan dengan beberapa pihak termasuk polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Pulau Pinang dan Ketua Unit Nelayan di kawasan itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika tempoh ini, pembelian secara runcit tidak dibenarkan dan dihadkan 10 orang sahaja yang boleh melakukan urusan jual beli setiap kali di dalam pasar berkenaan.

Katanya, peraih dan penjual juga diminta mengamalkan penjarakan selamat ketika urusan jual beli.

“Sekatan jalan raya membabitkan anggota polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan diadakan di jalan masuk ke pasar itu bagi memastikan hanya peraih dan penjual sahaja yang masuk ke kawasan terbabit.

“Sehubungan itu, orang awam diingatkan supaya memberi kerjasama dengan tidak berurusan secara peribadi terutama bagi mendapatkan bekalan hasil laut dan ia tidak dibenarkan sama sekali,” katanya kepada media, hari ini.

Mengulas lanjut Noorzainy berkata, perubahan urusan jual beli itu adalah satu inisiatif yang diambil bagi memastikan pelaksanaan PKP dapat dijalankan secara menyeluruh.

Namun, urusan itu akan kembali seperti sediakala sebaik sahaja tempoh PKP berakhir.

“Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing terutama dalam memastikan tujuan pematuhan PKP dilaksanakan dan kata sepakat yang diambil dalam perjumpaan itu adalah inisiatif bagi menghentikan rantaian wabak Covid-19 khususnya di pasar awam.

“Orang awam dinasihati supaya sentiasa berada di rumah serta elak berada di tempat sesak dan keadaan akan kembali pulih jika kita semua memberi kerjasama dengan mengikut arahan yang dikeluarkan,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 3:12 PM