GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


MAHU duduk dan lepak antara alasan diberikan 10 daripada 12 lelaki ditahan di lokasi berasingan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Kepala Batas dan Butterworth, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kumpulan pertama membabitkan enam lelaki ditahan ketika polis menjalankan operasi Covid-19 di Kuala Muda, Penaga, pada 11.10 malam.

Beliau berkata, mereka didapati duduk melepak dan tidak menghiraukan amaran pihak berkuasa selain enggan beredar.

“Semua individu terbabit ditahan kerana melanggar Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Mereka berusia 30 hingga 33 tahun itu dibawa ke balai polis bagi tindakan lanjut dan ujian air kencing didapati negatif dadah,” katanya kepada media, hari ini.

Noorzainy berkata, penahanan kedua membabitkan empat lelaki di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga pada 11.20 malam dan mereka memberikan alasan sama.

Beliau berkata, lelaki berusia 26 hingga 56 tahun itu turut ingkar arahan PKP sebelum dibawa ke balai bagi tindakan lanjut dan ujian air kencing terhadap seorang daripada mereka didapati positif methamphetamin.

“Manakala penahanan di lokasi ketiga di Jalan Permatang Pauh, Mak Mandin pada 1.50 pagi hari ini pula membabitkan dua lelaki menaiki motosikal yang gagal memberi alasan munasabah meninggalkan kediaman mereka.

“Mereka yang berusia 18 dan 21 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

“Semua individu itu dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapat perintah reman dan polis memandang serius perkara ini kerana masih ada lagi orang awam yang tidak patuh kepada PKP dalam usaha membendung Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 11:39 AM