Keberangkatan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melawat mangsa-mangsa pencemaran sisa kimia Sungai Kim-Kim yang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada Mac tahun lalu. FOTO Facebook The Royal Johor
Keberangkatan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melawat mangsa-mangsa pencemaran sisa kimia Sungai Kim-Kim yang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada Mac tahun lalu. FOTO Facebook The Royal Johor
Omar Ahmad


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan pelbagai peralatan perubatan dan keperluan bagi kegunaan hospital di negeri ini dalam menangani Covid-19, menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, baginda mengurniakan 19 unit ventilator bagi kegunaan Hospital Sultan Ismail (HSI), 24 unit lagi bagi Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang termasuk 200 bantal dan cadar.

Tambahan 60 bantal dan cadar juga diberikan kepada Hospital Permai di Tampoi, di sini.

Selain itu, Sultan Johor turut berkenan memberikan sumbangan peralatan perlindungan diri dan ‘Biological Isolation Chamber’ kepada petugas perubatan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada dermawan dan rakan yang tampil untuk membantu menyampaikan sumbangan kepada hospital di Johor bagi bersama membendung wabak Covid-19.

“Pada keadaan masa sekarang, apa yang penting ialah kerjasama semua pihak untuk bersama membendung penularan wabak Covid-19 serta membantu memberikan sumbangan keperluan hospital bagi membolehkan rawatan diberikan kepada pesakit,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) menerusi hantaran yang dimuatnaik.

Penyumbang utama barangan terbabit adalah Ranhill SAJ Sdn Bhd, Berjaya Corp Bhd, IWH Sdn Bhd, WTC Holdings Bhd, Tropicana Corp Bhd, BCB Bhd, Coronade Properties, Country Garden Pacificview Sdn Bhd, YTL Corp Bhd, Southern Ads Sdn Bhd, Honest Sam Development Sdn Bhd, Mados Holdings, EquMed Sdn Bhd serta Marche World (M) Sdn Bhd.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 2:19 PM