GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zuhainy Zulkiffli


MAJLIS Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif bantuan kepada penduduk beragama Islam yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Menteri 1 yang juga Yang Dipertua MAINPP Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, antara inisiatif itu ialah memberi pengecualian selama dua bulan sewaan premis MAINPP bagi April dan Mei.

Katanya, Tabung Wira Negara - MAINPP juga diwujudkan bagi membantu menyalurkan sumbangan kepada barisan hadapan yang bertugas di Pulau Pinang.

“Bantuan itu akan disalur kepada pasukan perkhidmatan kesihatan, keselamatan seperti polis dan tentera bagi membeli keperluan peralatan dan juga bekalan makanan.

“Buat permulaan pihak MAINPP akan menyalurkan RM50,000 menggunakan hasil dana wakaf dan bagi korporat dan individu yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan mereka ke Tabung Wira Negara-MAINPP di akaun Bank Islam 07025010036936,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, MAINPP menerusi Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga memperuntukkan sebanyak RM1 juta bantuan kecemasan kepada anak kariahnya yang terputus bekalan makanan sepanjang tempoh PKP dan boleh merujuk kepada Pegawai Tadbir Agama (PTA) daerah masing-masing.

Katanya, bantuan kecemasan RM100 itu bagi setiap keluarga akan disalurkan ke dalam akaun bank masjid kariah dan kaedah bantuan adalah sama ada membelikan barangan makanan atau secara tunai untuk pihak berhak.

“Bagi pakej bantuan khas zakat fasa kedua pula, ZPP akan memberi tumpuan kepada beberapa kumpulan lain dengan jumlah yang sama seperti bantuan khas zakat fasa pertama.

“Golongan yang dimaksudkan adalah Guru Sekolah Agama Rakyat, Guru Tahfiz, pemandu teksi dan pemandu perkhidmatan e-hailing sepenuh masa dan pekerja bergaji harian yang tidak dapat bekerja ekoran PKP,” katanya.

Pihak MAINPP juga mempertimbangkan beberapa cadangan lain bagi membantu kelompok masyarakat terjejas PKP dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 8:18 PM