ZOO Negara bergantung kepada duit tabung sedia ada bagi menampung kos operasi. FOTO Arkib NSTP
ZOO Negara bergantung kepada duit tabung sedia ada bagi menampung kos operasi. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


ZOO Negara Malaysia masih mampu meneruskan operasi seperti biasa meskipun berhadapan cabaran getir ekoran penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Presidennya Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, buat masa ini Zoo Negara bergantung kepada duit tabung sedia ada bagi menampung kos operasi merangkumi gaji pekerja dan makanan haiwan.

“Saya akui pendapatan memang terjejas, lebih-lebih lagi sebulan ini tiada pengunjung namun diakui semua sektor juga terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kami masih mampu bertahan buat sementara waktu ini tetapi jika PKP berlanjutan dua hingga tiga bulan, kami tak tahu apa akan jadi kerana kewangan memang terhad,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai siaran di Facebook oleh individu yang menyeru orang ramai untuk menghulurkan bantuan kepada Zoo Negara berikutan terjejas teruk ketika ini.

Katanya, Zoo Negara amat menghargai sumbangan orang ramai yang mengambil berat mengenai kelangsungan organisasi itu.

“Bagaimanapun, kami tidak pernah melantik sesiapa secara rasmi untuk meminta sumbangan atau derma.

“Namun, usaha individu yang menggunakan nama M Hafiz Ostmann di Facebook itu harus diberi pujian kerana keprihatinannya terhadap Zoo Negara. Malah sejak hantaran itu, kami terima maklum balas begitu menggalakkan. Kami tidak memaksa tetapi menggalakkan orang ramai yang ingin membuat sumbangan,” katanya.

Katanya, bagi menghargai mereka yang memberi sumbangan pihaknya akan memberi tiket percuma Zoo Negara yang sah digunakan dalam tempoh setahun.

“Sesiapa yang menderma, mereka layak mendapat mininum satu tiket percuma dan hanya perlu menunjukkan bukti transaksi sumbangan,” katanya.

Ahad lalu, melalui hantaran Facebook M Hafiz Ostmann, dia mengajak orang ramai untuk menghulurkan sumbangan ikhlas serendah RM50 ke tabung Malaysian Zooligical Society. Hantarannya mendapat 4,300 tanda suka dan dikongsi sebanyak 6,068.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 12:54 PM