ANGGOTA AKSEM Bukit Kayu Hitam memeriksa kenderaan asing yang hendak pulang ke Thailand di sekatan AKSEM menuju ke Kompleks ICQS. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
ANGGOTA AKSEM Bukit Kayu Hitam memeriksa kenderaan asing yang hendak pulang ke Thailand di sekatan AKSEM menuju ke Kompleks ICQS. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand, Bukit Kayu Hitam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa semalam.

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, selain Bukit Kayu Hitam, kawalan juga diperketatkan di Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap.

Menurutnya, hanya kenderaan asing yang pulang ke Thailand dibenarkan melalui sekatan AKSEM menuju ke Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

“Kawalan itu adalah bagi mengelakkan penularan Covid-19 terus merebak ke negara ini. Bagaimanapun kenderaan tempatan yang hendak masuk ke sana (Thailand), kita akan arahkan mereka supaya berpatah balik sebelum tiba di ICQS.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini anggota kami akan menjaga keselamatan bersama agensi lain untuk membendung penularan wabak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasil tinjauan NSTP di sempadan mendapati ada kenderaan tempatan cuba memasuki sempadan dari negara ini untuk ke Thailand tetapi diarahkan berpatah balik oleh anggota AKSEM yang bertugas.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 9:02 PM