MOHAMMAD SHATAR SABRAN
MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Ihsan Noorzali

USAHA mengatasi masalah penularan wabak Covid-19 adalah tanggungjawab semua pihak termasuk dalam kalangan mahasiswa.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pelbagai pihak perlu bertindak mengikut kapasiti masing-masing untuk memastikan masyarakat keseluruhan bebas daripada virus Covid-19.

Menurutnya, di peringkat universiti awam terutamanya barisan naib canselor mengambil beberapa tindakan selari dengan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Tinggi (KPT) untuk memastikan mahasiswa terhindar dari terkena jangkitan Covid-19.

“Antara langkah diambil universiti adalah memberi penerangan dan ingatan secara berterusan kepada mahasiswa masing-masing untuk mematuhi segala bentuk prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan jangkitan virus berlaku seperti tidak pergi tempat orang ramai berkumpul serta mengutamakan penjagaan kesihatan.

“Di samping itu juga, universiti awam sentiasa membuat pemantauan rapi sama ada pelajar berada di dalam kampus atau pulang ke rumah masing-masing dengan menyediakan talian khas untuk mereka berhubung sekiranya ada perkara berbangkit dalam kalangan pelajar mereka.

“Pemantauan 24 jam dapat dilaksanakan selain universiti sentiasa memberikan maklumat terkini kepada KPT untuk dilihat secara keseluruhan situasi penuntut yang ada dalam negara.

“Dengan adanya tindakan secara komprehensif dalam kalangan naib canselor dan pihak KPT, maka secara langsung atau tidak langsung dapat membuat pemantauan, malah pada masa sama dapat mengambil tindakan proaktif sekiranya ada risiko-risiko yang kita rasakan mungkin menyumbang kepada penularan virus yang berbahaya ini,” katanya di Tanjung Malim hari ini.

Menurutnya, sekarang bukan masanya masyarakat sama ada di dalam atau luar kampus untuk saling menyalahkan antara satu sama lain kerana ia tidak menguntungkan sesiapa sama ada kepada universiti atau negara secara keseluruhannya.

Beliau berkata, apa yang lebih penting hari ini adalah sama-sama berganding bahu membantu pihak kerajaan merealisasikan agenda yang disarankan Perdana Menteri dan pada masa sama komited melaksanakan SOP yang digariskan pihak Kementerian Kesihatan dalam konteks institusi pengajian tinggi.

Katanya, beliau yakin jika semua usaha itu dilaksanakan secara komprehensif, maka virus Covid-19 yang melanda negara dapat dikurangkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 5:37 PM