KEBAKARAN hutan di Jalan Gerik - Pengkalan Hulu (Gunung Kerunai dan Gunung Kenderong). FOTO IHSAN BBP.
KEBAKARAN hutan di Jalan Gerik - Pengkalan Hulu (Gunung Kerunai dan Gunung Kenderong). FOTO IHSAN BBP.
Mohd Rashidi Yusuf


KAWASAN hutan di Jalan Gerik-Pengkalan Hulu, Gerik yang terbakar sejak tiga hari lalu semakin merebak pada hari ini.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Muhamad Yunus Abu berkata, kebakaran merebak ke kawasan melebihi 32.4 hektar berbanding 20 hektar ketika operasi memadam pada hari kedua semalam.

Menurutnya, kawasan berkenaan dianggarkan seluas 24.3 hektar di Kampung Kenderong dan 8.1 hektar di Kampung Pong membabitkan dua gunung iaitu Gunung Kerunai dan Gunung Kenderong.

“Operasi memadam pada hari ketiga hari ini diteruskan bermula 8.15 pagi dengan melakukan ‘water bombing’ oleh Unit Udara JBPM di kawasan yang sukar untuk diakses dari daratan.

“Sementara tindakan dari darat pula, pasukan operasi dipecahkan kepada tiga kumpulan, dua untuk kawasan kaki Gunung Kenderong dan satu lagi ke Kampung Pong,” katanya.

Muhamad Yunus berkata, operasi hari ketiga itu disertai 76 anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 6:53 PM