KEADAAN trafik di lebuh raya utama negara. FOTO Ihsan LLM
KEADAAN trafik di lebuh raya utama negara. FOTO Ihsan LLM
Nurul Hidayah Bahaudin


BEBERAPA laluan ke timur dan utara Semenanjung dilaporkan sesak berikutan pertambahan kenderaan ke kampung halaman masing-masing menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa, 12 tengah malam ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui Twitter memaklumkan, setakat 10 malam tadi, trafik perlahan di Lebuhraya Duta Ulu-Kelang (DUKE) dari Greenwood ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan terus ke Plaza Tol Gombak arah Timur.

Aliran trafik turut perlahan di Lebuhraya Utara Selatan dari Juru ke Perai terus ke Permatang Pauh dan Bukit Tambun ke Bandar Cassia, Pulau Pinang.

Selain itu, aliran trafik juga sesak Bidor ke kawasan rehat dan rawat (RNR) Tapah, Perak serta Rawang (Selatan) ke Rawang, Selangor.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan Twitter @plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta twitternya @LLMinfotrafik.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa esok hingga 31 Mac ini sebagai langkah mengawal penularan Covid-19 di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 11:54 PM