Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. FOTO Arkib NSTP
Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar semua rakyat Johor bertenang dan tidak cemas susulan penularan koronavirus baharu (Covid-19) yang semakin meningkat.

Menerusi laman rasmi Facebooknya, Sultan Ibrahim turut menasihati semua rakyat agar sama-sama berganding bahu mengawal penularan penyakit ini dengan mematuhi arahan serta saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua yang bergejala Covid-19 harus segera ke klinik kesihatan terdekat untuk menjalani pemeriksaan di samping mengelakkan diri daripada menghadiri tempat-tempat sesak dan berisiko seperti hospital dan acara berskala besar.

“Sempena cuti sekolah ini, saya berharap luangkan lebih masa di rumah serta mengamalkan kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dan jika batuk, amalkan etika yang betul,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan sepenuh kepercayaan serta ucapan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan semua pihak yang sentiasa bertungkus-lumus dalam menjalankan tanggungjawab serta usaha pencegahan, pengesanan dan rawatan selain mengorbankan masa serta tenaga dan bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab demi menangani situasi Covid-19.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih dan merujuk kepada sumber utama iaitu KKM atau JKNJ sahaja.

Baginda menyifatkan tindakan menyebarkan berita tidak sahih hanya akan menimbulkan situasi panik serta menyukarkan petugas kesihatan menjalankan tugas.

“Di sini saya juga mengambil kesempatan ini, berharap semua yang menghadiri Jord Qudama dan Ulama Malaysia di Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini supaya hadir ke klinik kesihatan terdekat sekiranya terdapat gejala demam, batuk dan selesema.

“Jangan mengambil ringan isu ini kerana anda berisiko menularkan penyakit kepada keluarga dan orang ramai. Saya sentiasa berdoa agar situasi Covid-19 ini akan berakhir dengan segera. Insya-Allah, ” titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 11:37 PM