SOLIHAN Badri melihat keretakkan dibawah Jambatan Sagil. FOTO AHMAD ISMAIL
SOLIHAN Badri melihat keretakkan dibawah Jambatan Sagil. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


STRUKTUR jambatan di Jalan Tangkak-Segamat, berhampiran pintu masuk Gunung Ledang Resort di Tangkak, retak dan hanya kenderaan ringan dibenarkan melaluinya buat masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri berkata, keretakan lima tiang dan rasuk jambatan sepanjang 22 meter itu mula dikesan tahun lepas sebelum ia bertambah buruk awal tahun ini.

“Jambatan ini dibina 66 tahun lalu dan mampu menampung kenderaan seberat sehingga 36 tan sahaja.

“Keretakan dipercayai berlaku apabila kenderaan seberat 50 dan 70 tan melaluinya,” katanya ketika meninjau jambatan terbabit hari ini.

Turut hadir Pengarah Kerja Raya Johor Ir Mohd Said Sidik.

Mohd Solihan berkata, siasatan forensik dijalankan ibu pejabat JKR pada 26 Februari lalu mendapati, berlaku keretakan serius pada struktur jambatan terbabit.

“JKR mengesyorkan supaya jambatan yang secara purata digunakan 10,000 kenderaan sehari hanya boleh dilalui kenderaan ringan tidak melebihi tiga tan sahaja.

“Sebagai alternatif, tiga laluan boleh digunakan kenderaan berat dari Tangkak ke Segamat atau sebaliknya,” katanya.

Menurut beliau, laluan pertama membabitkan bandar Tangkak-Jalan Muar-Segamat (FT023)-Jalan Bekoh (J123)-Jalan Chohong-Nyalas (M15)- Jalan Asahan (M125)-Jalan Asahan-Jementah (J277)-Jalan Muar-Segamat (FT023)- dan bandar Segamat.

“Laluan kedua membabitkan bandar Tangkak-Jalan Muar-Segamat (FT023)-Jalan Parit Kasan-Sagil (J194)-Jalan Sungai Mati-Bukit Serampang (J33)-Jalan Sengkang (J143)-Jalan Kampung Teratai (J188)-Jalan Durian Chondong (J34)-Jalan Muar-Segamat (FT023)-bandar Segamat.

“Laluan ketiga adalah Tol Bukit Gambir-Jalan Sungai Mati-Bukit Serampang (J33)-Jalan Sengkang (J143)-Jalan Kampung Teratai (J188)-Jalan Durian Chondong (J34)-Jalan Muar-Segamat (FT023)- dan bandar Segamat,” katanya.

Menurut Mohd Solihan, pada masa sama, proses pembinaan sebuah jambatan baharu sepanjang 30 meter dengan kos RM8 hingga RM10 juta juga sedang berjalan.

“Pembinaan jambatan ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun ini.

“Kita anggap ini kecemasan (retak), jadi kita mahu cepat (pembinaan). Buat masa ini pasukan teknikal sudah pun melakukan pemeriksaan awal dan kita harap, paling lewat, dalam tempoh lima bulan ini, kita sudah mulakan projek pembinaan.

“JKR akan bertemu dengan pengusaha pengangkutan dalam masa terdekat bagi memaklumkan pematuhan sekatan sementara berat kenderaan tidak melebihi muatan tiga tan ini,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori muatan am, Hamzah Mohd Jidi, 54, berkata, dia menggunakan jambatan berkenaan sejak 10 tahun lalu.

“Baik pulih dijalankan memang perlu dilakukan kerana kami (pemandu lori) menggunakan laluan ini pada setiap hari.

“Saya harap ia segera siap dan kami tidak perlu melalui jalan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 4:14 PM