ZARINA (kanan) menerima sumbangan dari PERKEP Kontinjen Johor dikediamannya. FOTO AHMAD ISMAIL
ZARINA (kanan) menerima sumbangan dari PERKEP Kontinjen Johor dikediamannya. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


SEORANG anak sanggup berkorban demi ibu yang sakit di kampung apabila menolak tawaran kerja bergaji lumayan di sebuah syarikat di Muar.

Pengorbanan itu dilakukan, Zarina Atan, 39, anak bongsu daripada 14 beradik, bagi menjaga ibunya, Jawhir Hashim, 85, yang diserang angin ahmar sejak dua tahun lalu.

Zarina berkata, adik-beradik lain sudah berumah tangga dan menetap di tempat lain.

“Kerana itu saya mahu menguruskan emak sepenuh masa. Bagaimanapun, adik-beradik lain tetap akan pulang menjenguk emak pada hujung minggu.

“Setiap hari, rutin saya bermula dengan menyuap emak makan. Bagi memandikan emak, saya akan angkatnya ke bilik air atau mengelap badannya dengan kain basah,” katanya ditemui di rumahnya di Sawah Ring, Grisek di sini, hari ini.

Pada masa sama, Zarina turut menjaga seorang kakaknya yang berumur 47 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) sindrom down.

Menurut Zarina, bapanya yang juga pesara polis, Atan Gandak meninggal dunia pada 2005.

Terdahulu, Jawhir menerima kunjungan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor, Persatuan Pesara Polis Negeri Johor (PPPNJ) dan Daerah Tangkak yang menyampaikan sumbangan wang tunai, hamper juga barangan keperluan harian.

Turut hadir mantan Ketua Polis Johor Asisten Komisioner Datuk Mohamad Kamarudin Md Din, Pengerusi PERKEP Kontinjen Johor Datin Johariah Urib Mohd Ariffin, Presiden PPPNJ Khadmudin Mohd Rafik dan Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd Fadhil Minhat.

Ketika ditanya sama ada timbul perasaan menyesal kerana melepaskan tawaran kerjaya gaji lumayan di syarikat itu, Zarina berkata, rezeki ada di mana-mana dan dia tidak pernah kesal dengan pilihan berkenaan.

“Saya hanya mahu balas jasa emak. Saya akan terus berdoa semoga emak sembuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 5:41 PM