WARTAWAN Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, yang dikenali sebagai ‘Ibu Yati’ hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada sebutan semula kesnya yang berdepan tiga tuduhan membuat kenyataan berhubung isu jangkitan COVID-19 di laman profil Facebook miliknya. FOTO BERNAMA
WARTAWAN Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, yang dikenali sebagai ‘Ibu Yati’ hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada sebutan semula kesnya yang berdepan tiga tuduhan membuat kenyataan berhubung isu jangkitan COVID-19 di laman profil Facebook miliknya. FOTO BERNAMA
BERNAMA

WARTAWAN yang didakwa atas tiga pertuduhan membuat kenyataan berhubung isu jangkitan COVID-19 dalam laman profil Facebook miliknya akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, atau dikenali sebagai ‘Ibu Yati’ semasa sebutan kes di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin di Kuala Lumpur, hari ini.

“Saya memohon pihak pendakwaan memberikan kertas pertuduhan dan dokumen berkaitan kes anak guam saya bagi membolehkan pembelaan mengemukakan representasi.

“Pihak kami akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara tiga minggu dari tarikh hari ini,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menyerahkan kertas pertuduhan dan beberapa dokumen berkaitan kes itu kepada pihak peguam hari ini.

Turut kelihatan hadir Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Datuk Ahirudin Attan.

Pada 5 Februari lalu, Wan Noor Hayati mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan membuat kenyataan berhubung isu jangkitan COVID-19 dalam laman profil Facebook miliknya yang akan menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, dia didakwa melalui akaun Facebook miliknya, ‘Ibu Yati’ secara sedar membuat kenyataan mengenai COVID-19 dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam atau kepada mana-mana golongan awam.

Ketiga-tiga kenyataan itu dibaca dalam halaman Facebook miliknya di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, di sini, pada 10 malam, 26 Januari lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 5:40 PM