MOHD Osman (duduk, dua dari kanan) selamat tiba di tanah air selepas mengerjakan umrah pada 27 Februari lalu. FOTO ihsan Mohd Osman Satiman
MOHD Osman (duduk, dua dari kanan) selamat tiba di tanah air selepas mengerjakan umrah pada 27 Februari lalu. FOTO ihsan Mohd Osman Satiman
Sri Ayu Kartika Amri


“KAMI terpaksa melalui beberapa pemeriksaan ketat sebelum dibenarkan masuk ke Makkah,” kata Mohd Osman Satiman, 56.

Penjawat awam itu adalah antara 132 jemaah umrah Malaysia yang menaiki penerbangan terakhir dari Jeddah yang selamat tiba di tanah air kira-kira 1 pagi tadi.

Mohd Osman berkata, kumpulannya tiba di Makkah untuk mengerjakan umrah pada 27 Februari lalu serentak ketika Arab Saudi mengumumkan sekatan visa umrah dan pelancong ke negara itu.

“Semasa tiba di Jeddah, kami semua belum mengetahui mengenai sekatan dibuat kerajaan Arab Saudi. Jadi apabila sampai di lapangan terbang, kami diminta beratur.

“Kami tersekat di lapangan terbang sana lebih satu jam dan diarahkan ke sana ke mari dan dimaklumkan berkemungkinan kami tidak boleh lepas masuk ke Makkah.

“Mutawif akhirnya menghubungi wakil di Malaysia supaya dapat berunding dengan imigresen di Jeddah.

“Syukur, selepas melalui pemeriksaan kesihatan dan beberapa kali ditahan, selepas sejam baru kami dibenarkan masuk,” katanya yang bersyukur dapat melaksanakan ibadah berkenaan.

Menurutnya, sepanjang berada di sana jadual mereka berubah, manakala pergerakan mereka sering dikawal pihak berkuasa negara itu.

“Kami dapat melakukan ibadah seperti biasa, namun susulan Covid-19 ini, semua laluan di Makkah dikawal ketat polis dan tentera.

“Pihak hotel juga bertimbang rasa apabila membenarkan kami menetap di situ sehingga selesai ibadah di Makkah.

“Malah, kami bersyukur ketika kerajaan Arab Saudi membuat pengumuman mengosongkan Makkah, kami sudah bergerak ke Madinah,” katanya.

Katanya, setibanya di Madinah mereka tidak dibenarkan masuk dan diarahkan supaya pulang semula ke Riyadh.

“Kami hanya mampu bertawakal sepenuhnya kepada Allah. Tidak disangka pemandu kami membawa kami ke laluan alternatif untuk memasuki Madinah.

“Alhamdulillah, kami selamat tiba tanpa sebarang halangan dan menyempurnakan ziarah.

“Walaupun umrah kali kedua ini memberi pengalaman baru, namun kami sekeluarga bersyukur dapat mengerjakan umrah dan selamat tiba di Malaysia tanpa sebarang halangan besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 7:24 PM