Muhamad Arafat Varisai Mahamad.
Muhamad Arafat Varisai Mahamad.
Balqis Jazimah Zahari


SEORANG wakil rakyat PKR mendakwa terdapat usaha membentuk kerajaan Perak tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, usaha itu adalah seperti mana situasi di Melaka yang mana Perikatan Nasional (PN) Melaka menarik balik kerjasama dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu.

“Apa yang difahamkan pada saya, apa yang berlaku di Melaka mereka (PN) cuba buat di Perak.

“Mereka (Muafakat Nasional) sekarang ada 28 kerusi, tambah satu kerusi yang saya tidak tahu siapa ada 29 kerusi, hanya perlukan seorang (Adun) tanpa membabitkan Bersatu.

“Itu rancangan yang mereka lakukan, sebab itu kita mempertahankan mandat rakyat, maka kita tetap dengan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Hi-Tea & Beramah Mesra Bersama Ahli-Ahli Alumni 4B (M) Kawasan Tambun di Hotel Regalodge di Ipoh, hari ini.

Muhamad Arafat Varisai yang juga Ketua Cabang Tambun berkata, setakat ini kesemua Adun PH masih kekal dengan pendirian untuk menjalankan amanah rakyat.

“Bagi saya, masih kekal dengan pendirian untuk pertahankan mandat rakyat,” katanya.

Berkenaan situasi Adun lompat parti, Muhamad Arafat Varisai berkata, beliau yakin episod lompat parti tidak akan berlaku dalam kalangan empat Adun negeri ini meskipun ada yang tidak sependapat dalam parti.

“Saya bersama Adun Simpang Pulai (Tan Kar Hing) dan Teja (Sandrea Ng) memang selalu berhubung, seorang lagi rakan tu kurang sedikit, tetapi kita tidak boleh berprasangka sama ada beliau berubah hati atau tidak.

“Saya yakin beliau (Adun Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari) tetap dengan parti dan kekal memberikan sokongan bagi mengekalkan kerajaan negeri sedia ada,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 7:56 PM