WAN Rosdy Wan Ismail menyaksikan majlis Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelabur Thailand di Bangkok, Thailand. FOTO PEJABAT MB PAHANG
WAN Rosdy Wan Ismail menyaksikan majlis Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelabur Thailand di Bangkok, Thailand. FOTO PEJABAT MB PAHANG
Asrol Awang


PAHANG menarik pelaburan bernilai RM1.213 bilion dari Thailand dengan termeterainya perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelabur negara itu, hari ini.

Majlis pemeteraian perjanjian dan MoU ini berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Bangkok, Thailand disaksikan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang Datuk Sri Ishak Mohammad.

Turut menyaksikan ialah Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel MC Samuel serta delegasi kerajaan negeri Pahang yang lain termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Dua perjanjian pelaburan dimeterai antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dengan Green World Genetics bernilai RM400 juta dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan AE Carbon Capital (Bentong) bernilai RM380 juta.

Pelaburan oleh Green World Genetics ialah bagi pembangunan Taman Penyelidikan Benih Tropikal Global termasuk pembinaan Pusat Latihan Inkubator Agropreneur di kawasan seluas kira-kira 518 hektar (1,280 ekar) di Gambang, Kuantan.

Pelaburan oleh AE Carbon Capital (Bentong) pula ialah bagi pembangunan Taman-Eko untuk pengeluaran pelbagai produk teknologi hijau bagi pasaran dalam dan luar negara di kawasan seluas kira-kira 11.33 hektar (28 ekar) di Bentong.

Dua MoU pula termeterai antara PKNP dengan AE Carbon Capital (Bera) bernilai RM320 juta dan antara PSK dengan Golden Sea Farm (Thai) Co Ltd bernilai RM113 juta.

Pelaburan oleh AE Carbon Capital (Bera) ialah bagi pembangunan Taman Eko untuk pengeluaran pelbagai produk teknologi hijau bagi pasaran dalam dan luar negara di kawasan seluas 20.23 hektar di Bera.

Pelaburan oleh Golden Sea Farm (Thai) Co Ltd pula ialah bagi pembangunan Taman Akuakultur termasuk pembinaan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan di kawasan seluas 101.17 hektar di Rompin.

Pada ucapannya, Wan Rosdy berkata, majlis itu ialah susulan kepada usaha berterusan dalam mempromosi dan menarik pelaburan asing ke Pahang.

“Majlis ini ialah susulan kepada promosi ‘Invest Pahang’ yang berterusan yang dianjurkan menerusi pendekatan langsung dengan syarikat-syarikat yang berpotensi,” katanya pada kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 5:20 PM