ABANG Johari. FOTO Edmund Samunting
ABANG Johari. FOTO Edmund Samunting
Mohd Roji Kawi

SARAWAK menyerahkan kepada Dewan Rakyat sama ada mahu meneruskan atau sebaliknya pembentangan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada persidangan Mei nanti.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan Dewan Rakyat kerana pada mulanya pembentangan itu dirancang diadakan pada bulan ini.

Menurutnya, beliau belum menerima maklumat lanjut berhubung perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada Dewan Rakyat untuk menentukannya.

“Terpulang kepada Parlimen yang baharu nanti, jika mereka kata akan dibentangkan semula, kita bentangkan tetapi jika mereka kata tunggu dahulu, kita akur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Gagasan Ummah Gemilang di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Kompleks Islam Sarawak di Kuching hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar serta Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.

Pada 17 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen ketika itu, Datuk Liew Vui Keong dipetik berkata, RUU untuk meminda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan Mac ini.

Ia diputuskan pada pertemuan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohad dengan Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Putrajaya pada 17 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof hari ini memaklumkan persidangan akan bermula 18 Mei depan.

RUU itu dirancang dibentangkan bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung dengan mengembalikan Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan kepada yang asal seperti yang dibentuk pada 1963.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 5:44 PM