Muhyiddin (melambai tangan). FOTO Arkib NSTP
Muhyiddin (melambai tangan). FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PERDANA Menteri disarankan meneruskan agenda dan dasar diperkenalkan kerajaan sebelum ini selagi ia diyakini memberi impak dan berorentasikan rakyat.

Profesor Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Profesor Dr Ismail Sualman berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan nama asing dalam pentadbiran negara dan pengalaman luasnya diyakini mampu membawa anjakan baru kepada negara ini.

Menurutnya yang juga penganalisis politik, dalam tempoh dua tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH) masih banyak lagi dasar dan strategi masih belum dapat direalisasikan dan memberi impak sepenuhnya kepada rakyat.

“Kerajaan baharu ini perlu meneruskan usaha dan dasar disenangi rakyat kerana kini adalah tempoh mencabar untuk mereka membuktikan kepimpinan kini lebih baik berbanding sebelum ini.

“Pendekatan lebih jelas perlu direncanakan khususnya mengurangkan kos sara, inisiatif golongan B40, menstabil harga komoditi selain merancang pembangunan menyeluruh bagi Semenanjung, Sarawak serta Sabah,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, tidak menjadi masalah atau ‘kesalahan’ jika pendekatan yang baik kepada rakyat itu diteruskan kerana kini masyarakat sudah bijak untuk menilai prestasi pemimpin serta kerajaan.

Dalam konteks Kerajaan Pusat dengan Sarawak dan Sabah, Ismail berkata, hubungan yang lebih baik antara pemimpin mampu memberi manfaat kepada rakyat khususnya dari segi pembangunan infrastruktur.

“Hubungan antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri memang diketahui baik dan sokongan daripada parti utama negeri berkenaan perlu dibalas dalam bentuk pembangunan yang mampan.

“Jika dilihat banyak lagi kawasan pedalaman yang perlu dibangunkan khususnya infrastruktur asas seperti jalan raya, air bersih, elektrik dan pembangunan sekolah,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri juga perlu diperkukuhkan kerana manfaat yang diterima rakyat pasti memberi impak kepada negara secara keseluruhannya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 3:07 PM