FOTO L.MANIMARAN
FOTO L.MANIMARAN
Norsyazwani Nasri


GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) bersedia menghadapi pilihan raya jika Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Naib Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Julaihi Narawi berkata, kepentingan negara dan Sarawak sentiasa menjadi keutamaan GPS dalam jangka masa panjang.

“Kita bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila jika itu keputusan yang dibuat pucuk kepimpinan.

“Prinsip GPS ialah bekerja sepanjang masa kepada rakyat bukan hanya ketika pilihan raya hendak diadakan,” katanya ketika sidang media selepas lawatan tapak projek naik taraf jalan pesisir di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo.

Berhubung naik taraf jalan pesisir, Menteri Muda Jalan Pesisir itu berkata, pembinaan melengkapkan jalan pesisir mempunyai tiga komponen itu jambatan, jalan penghubung dan naik taraf jalan bermula dari selatan hingga utara Sarawak sepanjang 896 kilometer.

“Hari ini kita berada di pakej PA1 bermula di simpang Kampung Tambey hingga ke Asajaya.

“Kos naik taraf jalan raya ini sepanjang 12.3 kilometer dengan kos keseluruhan RM 11.8 juta,” katanya.

Beliau berkata, projek akan dilaksanakan kontraktor Bumiputera dengan mengambil masa selama 18 bulan untuk siap.

“Kita berharap kerja-kerja menaik taraf jalan ini berjalan dengan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Cabaran naik taraf jalan ini ialah masalah kesesakan kerana ia laluan utama jalan pesisir,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 3:20 PM