Raja Noraina Raja Rahim dan Murnaena Muhammad Nasir


TUN Dr Mahathir Mohamad selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri Interim itu dilihat keluar dari Istana Negara pada 12 tengah hari.

Beliau sempat melambaikan tangan sambil tersenyum ke arah petugas media yang menunggunya di luar pintu utama.

Dr Mahathir menghadap Yang di-Pertuan Agong selama 70 minit dipercayai bagi membincangkan mengenai jawatan Perdana Menteri ke-8.

Ini kerana nama beliau antara disebut untuk terus menyandang kerusi pemimpin nombor satu politik itu.

Semalam, Dr Mahathir melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

ISTANA Negara. FOTO NSTP
ISTANA Negara. FOTO NSTP

Sebelum itu, seramai 221 Ahli Parlimen mewakili pelbagai parti politik mempersembah nama calon Perdana Menteri untuk dipertimbang Yang di-Pertuan Agong pada semalam dan kelmarin.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun dilaporkan berkata, Barisan Nasional (BN), PBRS dan PAS berpendirian supaya Parlimen dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negara ketika ini.

Pakatan Harapan (PH) pula memutuskan menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong penuh Dr Mahathir untuk terus menerajui kepimpinan negara.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 12:14 PM