Nurul Amanina Suhaini


SEORANG bekas Pegawai Senggara 2 Sivil dan Struktur, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan rasuah berjumlah RM10,000 pada 20 September 2016.

Mejar (B) Mohd Suhaizal Mat Sulaiman, 42, berdepan dengan pendakwaan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang pada ketika itu bertugas di Bahagian Sel Pemantauan Projek Infrastruktur dan Senggaraan Tentera Darat, Kementerian Pertahanan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, melakukan dua kesalahan menerima suapan secara transaksi di Jalan Dato Haji Hassan, Kluang, Johor.

SEORANG bekas ATM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas dua pertuduhan menerima suapan rasuah berjumlah RM10,000 pada 20 September 2016. FOTO Nurul Amanina Suhaini
SEORANG bekas ATM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas dua pertuduhan menerima suapan rasuah berjumlah RM10,000 pada 20 September 2016. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Tertuduh menerima suapan pertama ke atas dirinya berjumlah RM5,700 yang kemudiannya menerima suapan kedua berjumlah RM4,300 daripada sebuah syarikat yang sama untuk kerja senggaraan sivil, mekanikal dan fasilitas infra latihan, Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa PULADA dan infra mekanikal Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat menawarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, dan meminta tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa, selain tidak mengganggu mana-mana saksi dan melapor diri minggu pertama setiap bulan di SPRM Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Mohd Suhaizal dalam rayuannya memohon nilai jaminan dikurangkan dengan alasan sudah menamatkan tempoh perkhidmatan pada Oktober 2018, selain tiada pekerjaan tetap dan mempunyai tanggungan kepada orang tuanya termasuk isteri bersama empat anak.

Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa, tidak mengganggu mana-mana saksi perlu melaporkan diri di pejabat SPRM tiap bulan dan menetapkan 8 April depan untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 2:24 PM