SYED Saddiq. FOTO Arkib NSTP
SYED Saddiq. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


ANGKATAN Bersatu Anak Muda (ARMADA) menyangkal dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengugut keluar dari Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat Majlis Presiden PH malam tadi, jika Tun Dr Mahathir Mohamad terus didesak melepaskan jawatannya.

Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan ia sebagai satu fitnah, bahkan beliau menafikan berlaku ketegangan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH itu malam tadi.

Lantaran itu, Syed Saddiq mendesak Majlis Presiden PH menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepada BERSATU itu.

Beliau berkata, pihak yang mengeluarkan fitnah itu perlu berani memaklumkan siapa sumber yang dimaksudkan.

“Memang kita ada bincang hangat (dalam mesyuarat Majlis Presiden PH)... tetapi itu biasa, ada yang setuju ada yang tidak setuju.

“Itulah situasi demokrasi, kita masing-masing menyampaikan pendapat dan akhirnya kita selesaikan dengan saluran yang betul.

“Tidak ada mana-mana pemimpin BERSATU ugut untuk keluar PH, pihak yang keluar fitnah itu perlu berani dan tolong maklumkan siapa mereka ini.

“Saya rasa Majlis Presiden PH perlu siasat siapa yang mengeluarkan fitnah ini kepada media,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program bersama ARMADA Pokok Sena di Alor Setar, petang hari ini.

SYED Saddiq bersama bekas timbalannya, Steven Sim Chee Keong bergambar kenangan bersama warga kerja Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada majlis perpisahannya di Menara KBS hari ini. FOTO Bernama
SYED Saddiq bersama bekas timbalannya, Steven Sim Chee Keong bergambar kenangan bersama warga kerja Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada majlis perpisahannya di Menara KBS hari ini. FOTO Bernama

Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa laporan portal bahawa mesyuarat itu berlangsung dalam suasana tegang, termasuk BERSATU sedia mempertimbang keluar daripada PH jika Dr Mahathir terus didesak melepaskan jawatan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda PH, berkata, isu transisi peralihan kuasa Perdana Menteri itu perlu dihentikan berikutan ia menenggelamkan isu rakyat yang lain.

Katanya, kerajaan sudah melakukan banyak perancangan untuk menyelesaikan isu berkaitan rakyat, terutama peluang pekerjaan kepada anak muda, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kos sara hidup.

“Cukuplah kita ketagih dan buta dengan isu transisi ini kerana banyak lagi perkara yang kerajaan perlu fokus.

“Antaranya, dalam isu pekerjaan kita lihat pengangguran dalam kalangan belia adalah 10.7 peratus, kerajaan sudah peruntukkan RM6.5 billion untuk program Malaysia@work yang bakal mewujudkan sehingga 350,000 peluang pekerjaan dan kita sedang laksanakan secara berperingkat.

“Selain itu isu PTPTN juga sudah beberapa kali dibincangkan dalam kabinet, kita tunggu pengumuman Perdana Menteri dan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengenai perkara yang kita putuskan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 6:54 PM