Saifuddin Nasution. FOTO Rosdan Wahid
Saifuddin Nasution. FOTO Rosdan Wahid
Samadi Ahmad


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) belum menerima sebarang aduan daripada peniaga di Johor Bahru yang terjejas selepas Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengumumkan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) untuk rakyat negara itu sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, notis SHN itu baru sahaja dikeluarkan kerajaan negara itu dan sesuatu keputusan sememangnya memberi impak kepada semua pihak.

Menurutnya, kira-kira 400,000 pekerja Malaysia dan warga republik itu berulang-alik untuk bekerja dan masuk membeli-belah di pasar raya di Johor Bharu dan ia menimbulkan menimbulkan kebimbangan berikutan kes penularan Covid-19 di negara itu yang semakin meningkat.

“Kerajaan akan mengkaji dan mencari jalan bagi mengatasi itu agar peniaga tidak terjejas dan menanggung kerugian,” katanya ketika merasmikan Pasar Raya Desa Segar di Dengkil, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Best and Kwik Mart Sdn Bhd Datuk Norizan Bakar.

Semalam, media melaporkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengumumkan SHN untuk rakyat negara itu dan pekerja pemegang pas jangka panjang yang kembali ke Singapura dari China dalam tempoh dua minggu lalu.

Sebagai sebahagian daripada keperluan notis, semua orang perlu berkurung dalam rumah pada setiap masa selama 14 hari berkuat kuasa dari 11.59 malam (waktu tempatan) malam ini termasuk mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Hubei baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, kerajaan menyokong pembukaan perniagaan peruncitan seperti dijalankan Best and Kwik Mart Sdn Bhd selaras dengan hasrat kementeriannya bagi melahirkan lebih ramai usahawan dan peruncit berskala kecil dan sederhana bagi memberikan pilihan kepada pengguna.

Menurutnya, KPDNHEP sentiasa menyokong dan membantu pengusaha dan peruncit tempatan dalam memasarkan dan memperluas produk dan perkhidmatan mereka agar mampu menghasilkan produk yang setanding dengan produk luar negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 4:51 PM