bot yang dirampas APMM. FOTO Juwan Riduan
bot yang dirampas APMM. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SEBUAH bot pukat tunda bersama juragan dan awak-awak warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana melanggar syarat lesen dalam Ops Naga Timur/Ops Sejahtera, semalam.

Bot pukat tunda dan semua suspek berusia 20 hingga 40 tahun ditahan pada kedudukan 0.8 batu nautika Kampung Numbak, di Kota Kinabalu, jam 11 pagi.

Timbalan Pengarah Operasi, APMM Sabah dan Labuan, Kapten Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata, bot peronda yang sedang melakukan Ops Naga Timur dan Ops Sejahtera mengesan dan menahan sebuah bot pukat tunda dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati nama juragan tidak sama seperti di dalam lesen bot berkenaan. Juragan dan tiga awak-awak ditahan walaupun mempunyai dokumen diri yang sah.

"Bot dan semua suspek diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Asmawati berkata, pihaknya masih melaksanakan Operasi Khas iaitu Ops Naga Timur dilaksanakan oleh Maritim Malaysia pada 1 Ogos 2019 yang lalu.

"APMM Sabah dan Labuan sentiasa melakukan rondaan, risikan dan pemantauan untuk mengekang sebarang aktiviti yang melanggar syarat sah lesen, aktiviti mengebom ikan dan pencerobohan bot nelayan asing yang mengaut hasil laut negara.

"Saya menegaskan bahawa pihak maritim tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik bot nelayan tempatan yang melanggar syarat lesen, serta pihak dan individu yang mendalangi aktiviti pengeboman ikan dan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 3:09 PM