AISAH (duduk dua dari kanan) salah seorang penjawat awam yang didakwa. FOTO Abdul Rahemang Taiming
AISAH (duduk dua dari kanan) salah seorang penjawat awam yang didakwa. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


LIMA penjawat awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah dan memalsukan Borang Daftar Kelahiran di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini.

Tiga anggota polis, Zakariah Kirinu, 38; Roney Saimey Sakah, 40, dan Abdul Halil Mohd Zin, 60, serta seorang Penolong Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Aisah Batik, 41, didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Manakala Ajid Abdinah, 43, yang juga kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Lahad Datu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memalsukan dokumen Borang Daftar Kelahiran (Borang A).

Kesemua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Abdul Halil yang berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM, turut berdepan tiga lagi pertuduhan alternatif mengikut Sesyen 165, Kanun Keseksaan atas kesalahan yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada kesemua tertuduh berserta beberapa syarat tambahan termasuk pasport diserah kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM.

Peguam bela Dayang Aida Ku Amira Aminudin, Mark Rosaidey Mohd Amin Jaafar dan Mohd Fadzil Abdul Karim yang masing-masing mewakili keempat-empat tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 seorang dengan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di pejabat SPRM tiga bulan sekali dan dilarang menghampiri atau mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 16 dan 17 Apri ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 6:48 PM