GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin

SEBAHAGIAN tembok Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min di Sungai Besar rosak selepas sebuah kereta melanggar tembok sekolah itu pagi hari ini.

Sebelum itu, kereta dipandu wanita berusia 38 tahun melanggar motosikal ditunggang lelaki berusia 40 tahun menyebabkan penunggang parah pada kepala dan anggota badan dalam kejadian pada 9.45 pagi.

Bagaimanapun, pemandu kereta itu hanya cedera di tangan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kemalangan berlaku di simpang tiga Jalan Panchang Bedena berhampiran sekolah itu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pemandu kereta berkenaan datang dari arah Sungai Besar menghala ke Sabak Bernam, manakala penunggang motosikal dari arah Sekendi hendak masuk ke Taman Ria.

“Kereta dikatakan melanggar bahagian hadapan motosikal itu dan mengheretnya hingga ke tembok sekolah rendah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, penunggang motosikal dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan lanjut.

Menurut Agus Salim, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 5:29 PM