MUHAMMAD Sajjad Kamaruzzaman. FOTO Eizairi Shamsudin
MUHAMMAD Sajjad Kamaruzzaman. FOTO Eizairi Shamsudin
Yusmizal Dolah Aling


JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai maklumat yang cukup mengenai usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman dan satu sesi konsultasi akan diadakan sedikit masa lagi.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya akan menetapkan satu tarikh sesuai untuk memanggil Sajjad berjumpa dengan pegawai untuk berbincang mengenai kontroversi yang timbul.

Katanya, buat masa ini, tarikh berkenaan belum ditetapkan, namun ia tidak akan menjadi masalah kerana jabatan itu ada maklumat lengkap yang dapat membantu dalam perbincangan terbabit.

“Kita mengambil maklum kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya untuk JAIS mengambil tindakan bersesuaian mengikut bidang kuasa yang kita ada.

“Ya, kita ada maklumat mengenai Sajjad, kita boleh panggil pada bila-bila masa. Buat masa ini kita masih belum panggil,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata, sesi konsultasi berkenaan dapat memberi kesimpulan tepat kepada beberapa isu berbangkit.

“Syaratnya perbincangan mestilah berdasarkan kepada hukum syarak dan kita harap ia akan berlangsung dengan baik demi faedah dan kebaikan Islam keseluruhannya,” katanya.

Pada 13 Februari lalu, Paimuzi menerusi Twitter memaklumkan pihaknya memohon kerjasama JAIS mengambil langkah bersesuaian di bawah bidang kuasa negeri Selangor.

Ia sebagai maklum balas kenyataan Sajjad di Harian Metro sehari sebelum itu yang bersedia bekerjasama dengan Jakim bagi menyelesaikan isu jantinanya selepas kontroversi yang tercetus ketika mengerjakan umrah baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 2:31 PM