Antara remaja yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Antara remaja yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


EMPAT remaja lelaki yang menunggang motosikal dan melakukan aksi berbahaya ‘zig-zag’ di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah dan Jalan Gunung Keriang di Alor Setar ditahan polis, malam tadi.

Operasi Samseng Jalanan dilakukan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar bermula jam 4 petang semalam hingga 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan empat remaja lelaki dan merampas empat motosikal ditunggang mereka.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap mereka mendapati, seorang daripadanya positif dadah jenis methaphetamine manakala tiga yang lain negatif.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 dan seorang daripadanya disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana terbabit dengan dadah,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rozi menasihatkan ibu bapa supaya menitik beratkan pengawasan anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat ini kerana perbuatan ini akan menjejaskan masa depan golongan belia.

Dalam perkembangan sama, katanya, antara saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh, mengubahsuai kenderaan serta pelbagai kesalahan trafik lain.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak sihat atau aktiviti jenayah bolehlah disalurkan kepada pihak trafik atau mana-mana balai berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 10:44 AM