PENYAMPAIAN sijil kepada pasukan mencari dan menyelamat wanita Orang Asli yang hilang di Jelebu. FOTO Abnor Hamizam
PENYAMPAIAN sijil kepada pasukan mencari dan menyelamat wanita Orang Asli yang hilang di Jelebu. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


PEJABAT Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang mengadakan majlis kesyukuran dan penyampaian sijil kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wanita Orang Asli yang hilang selama enam hari di Jelebu, awal bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Bakri Sawir berkata, majlis bertujuan menghargai perit jerih pasukan mencari yang menjalankan misi pencarian selama enam hari itu.

Katanya, beliau gembira apabila Orang Asli terbabit yang berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam, Ramnah Hasan, 26, ditemui selamat.

“Saya memang berhasrat jika wanita itu ditemui, saya mahu mengadakan majlis kesyukuran dan ia dilaksanakan pada hari ini.

“Penduduk Kampung Orang Asli BanerTengkoh dan wanita yang hilang itu turut dijemput hadir pada majlis ini,” katanya pada majlis di Empangan Kampung Gepu, Ulu Jelebu di sini.

Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi terbabit dalam misi mencari dan menyelamat itu.

Beliau berkata, pasukan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Pengurusan komuniti Kampung (MPKK), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Perhutanan, Pejabat Kesihatan Jelebu dan badan bukan kerajaan (NGO) antara yang menerima sijil penghargaan.

Ramnah ditemui selamat pada 11.25 pagi, 8 Februari lalu oleh pasukan SAR kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

Berita berkaitan

'OKU ditemui selamat selepas hilang enam hari'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 8:04 PM