Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini akan putuskan peralihan kuasa antara Dr Mahathir (kiri) dan Anwar. Foto NSTP
Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini akan putuskan peralihan kuasa antara Dr Mahathir (kiri) dan Anwar. Foto NSTP
Mahaizura Abd Malik

STATUS peralihan kuasa antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari depan.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri di Putrajaya, Dr Mahathir mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti dijanjikan.

“Dalam pertemuan itu, saya dan Tun Dr Mahathir Mohamad membincangkan mengenai peralihan kuasa.

“Saya bangkitkan isu itu kerana ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari UMNO dan sebilangan kecil daripada PKR sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

“Perdana Menteri tidak terbabit dalam usaha itu, malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.

Menurut Anwar, pimpinan PH dan rakan bersekutu tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018.

“Saya turut memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa memandangkan wujud muslihat licik sedemikian maka pimpinan PH dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018, yakni tegas menyokong kepimpinannya selaku Perdana Menteri Ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri Ke-8.

“Saya cenderung beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini,” katanya.

Menurutnya, selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai itu tidak pernah digugat mana-mana parti bersekutu membabitkan PKR, DAP, Amanah dan BERSATU.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:58 PM