FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

SEORANG ibu tunggal dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas empat pertuduhan memperdaya empat individu sehingga mereka mendeposit wang berjumlah RM50,000 untuk skim pelaburan yang tidak wujud.

Afkariah Md Norani, 49, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Hakim Hasbullah Adam.

Bagi semua pertuduhan, wanita itu didakwa melibatkan diri dalam satu perbuatan yang beroperasi sebagai perdayaan terhadap empat individu menyebabkan mereka mendeposit wang masing-masing berjumlah RM10,000 dan RM20,000 ke dalam akaun RHB Bank Berhad yang dipegang oleh RHB Investment Bank Berhad (RHBIBB) bagi tujuan satu skim pelaburan dalam RHBIBB sedangkan skim itu tidak wujud.

Tertuduh menggunakan wang itu untuk membuat pembayaran bagi pembelian sekuriti dalam akaun Sistem Depositori Pusat (SDP) miliknya.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Bursa Malaysia Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini, antara 5 Ogos 2015 dan 15 Januari 2016 mengikut Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Arif Zain menawarkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri kepada pegawai penyiasat di Suruhanjaya Sekuriti.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga dan menjaga ibunya.

“Saya tidak bekerja dan saya juga telah bankrap sejak 20 Februari 2018. Saya telah bercerai dan ibu tunggal kepada tiga anak. Saya mohon jaminan rendah,” katanya.

Mahkamah membenarkan Afkariah diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri kepada Suruhanjaya Sekuriti pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 27 Feb untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 5:01 PM