Suraya Roslan


SUMBER pembacaan dalam arus digital yang begitu banyak tanpa sekatan menjadi gelanggang untuk menyebar berita palsu dan kandungan yang merosakkan masyarakat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sehubungan itu usaha serta program pembudayaan amalan membaca perlu disusun secara sistematik dan harus diperluas kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.

“Salah satu cabaran yang kita hadapi hari ini untuk menggalakkan budaya membaca ialah pengaruh digital ke atas masyarakat.

“Pengaruh digital begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku semakin diketepikan, malah banyak syarikat akhbar terpaksa menggulung tikar kerana jualan merosot manakala buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau atas rak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan di seluruh negara bermula pada 2021 hingga 2030 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini.

Beliau yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, bagaimanapun, pengaruh digital itu tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca berikutan yang berubah hanya sumber pembacaan.

“Hari ini hampir semua akhbar mempunyai versi digital dan buku juga diterbitkan secara digital.

“Pembacaan masih kekal sebagai satu budaya kerana membaca adalah amalan asas kepada pemerolehan dan pengukuhan ilmu pengetahuan,” katanya.

Menurutnya, amalan membaca boleh menyebabkan seseorang bukan saja kaya dengan pelbagai ilmu pengetahuan malah berkebolehan menyampaikan ilmu pengetahuan dengan baik dan berkesan.

“Daripada segi sains, amalan membaca menjadi salah satu kaedah senaman dan latihan minda yang berkesan di samping berkeupayaan memperkuat rangkaian otak manusia serta mampu merangsang pembinaan rangkaian saraf yang baharu.

“Pembacaan yang banyak juga dapat mempertingkatkan kecerdasan emosi (emotional intelligence atau EQ) dan tahap kecerdasan intelektual (intelligence quotient atau IQ) seseorang. Kedua-dua unsur kecerdasan ini amat penting bagi membolehkan seseorang itu menguasai pelbagai keadaan dan merebut peluang yang ada bagi pembangunan diri,” katanya.

DR Mahathir bergambar selepas Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan. Turut serta Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM Bangi. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
DR Mahathir bergambar selepas Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan. Turut serta Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM Bangi. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.

Menurutnya, majlis Dekad Membaca Kebangsaan antara kesungguhan kerajaan menjadikan amalan membaca satu budaya yang pastinya bertujuan membentuk masyarakat berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat.

“Usaha serta program pembudayaan amalan membaca perlulah disusun secara sistematik dan diperluas ke segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.

“Untuk mencapai tujuan ini, kita perlu memastikan industri buku di negara kita berdaya saing dan dapat memenuhi kehendak pembaca khususnya sebagai persediaan kita mengharungi Revolusi Industri 4.0.

“Bagi membudayakan amalan membaca, usaha untuk menerbitkan bahan bacaan yang berkualiti dan memenuhi keperluan negara memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak terutama golongan penulis, editor dan penerbit buku perlu dilibatkan secara aktif dalam inisiatif ini.

“Daya beli dalam kalangan masyarakat juga perlu diambil kira dalam usaha kita mewujudkan pasaran buku yang kompetitif yang mampu dibeli oleh rakyat Malaysia dan memastikan kebolehcapaian masyarakat kepada bahan bacaan ini,” katanya.

Dr Mahathir menyeru semua rakyat Malaysia menjadikan amalan membaca sebagai suatu budaya walaupun berada di mana saja bagi mendukung aspirasi Rakyat Membaca Malaysia berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 11:22 AM