Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum dimaklumkan berhubung kesahihan dakwaan yang mahu menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum dimaklumkan berhubung kesahihan dakwaan yang mahu menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri
Norzamira Che Noh

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan ada maklumat mengenai apa didakwa sebagai akuan bersumpah dwipartisan untuk menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meneruskan penggalnya sebagai perdana menteri.

Anwar berkata, sehingga kini beliau masih belum dimaklumkan berhubung kesahihan dakwaan yang mahu menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Saya tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenai perkara itu (kesahihan dakwaan itu)," katanya ringkas selepas menghadiri Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di Shah Alam, hari ini.

Semalam, Sarawak Report menerusi sumber yang boleh dipercayai melaporkan, terdapat individu yang sudah mengumpulkan ahli Parlimen dalam usaha menafikan keputusan PRU14.

Laporan itu juga mendakwa, ahli Parlimen yang setia kepada UMNO, PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah diminta untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun itu.

Difahamkan akuan berkenaan adalah untuk menyokong penangguhan peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar sehingga PRU akan datang.

Anwar berkata, keutuhan kesatuan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dipertikaikan biarpun ada usaha daripada pihak pembangkang yang mahu memecahbelahkan gabungan itu.

Katanya, fokus utama beliau ialah mengenai keperluan memberikan perhatian kepada masalah dihadapi rakyat dan menstabilkan ekonomi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 6:07 PM