RAMNAH ketika ditemui anggota penyelamat.
RAMNAH ketika ditemui anggota penyelamat.
Abnor Hamizam Abd Manap


WANITA Orang Asli, Ramnah Hasan, 26, yang hilang sejak enam hari lalu ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Jelebu, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Bakri Sawir berkata, wanita berkenaan yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam ditemui pada 11.25 pagi di dalam dusun kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Ketika ditemui, wanita itu sedang duduk di tepi lereng bukit di dusun Baner Tengkoh dan dalam keadaan lemah.

“Sebaik ditemui, wanita itu dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Jelebu bagi pemeriksaan kesihatan," katanya ditemui di pusat arahan operasi di Kampung Gepu, Jelebu.

Bakri berkata, beliau bersama 60 anggota SAR daripada pelbagai agensi dan penduduk kampung memulakan operasi pada 9 pagi hari ini.

“Malam tadi, kami mengadakan solat hajat supaya Allah permudahkan urusan pada hari ini dan Alhamdulillah, pencarian itu berhasil dengan izinnya,” katanya.

Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri bercadang mengadakan majlis kesyukuran diatas kejayaan menemukan wanita berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini, semua pihak risau dengan kehilangan wanita berkenaan disebabkan dia tidak normal seperti orang lain, namun hari ini dia ditemui dalam keadaan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 2:54 PM